Majlis Ramah Mesra Pemimpin SIB Kawasan Papar 2025

19 Oktober 2025, SIB Pekan Papar - Majlis Ramah Mesra Pemimpin SIB Kawasan Papar telah berlangsung dengan jayanya pada 19 Oktober 2025, menghimpunkan para pemimpin dari seluruh gereja dalam kawasan Papar. Majlis ini bukan sekadar pertemuan, tetapi juga menjadi wadah untuk mempererat hubungan, menghargai barisan kepimpinan lama, dan memperkenalkan pemimpin yang baharu.

Acara dimulakan dengan ucapan daripada Ketua Kawasan, Pta Tinggih Sulog, yang menekankan pentingnya semangat kesatuan, kerjasama, dan kesetiaan dalam pelayanan Tuhan. Beliau turut menggalakkan setiap pemimpin agar terus menjadi teladan di dalam gereja masing-masing.

Sesi diteruskan dengan pujian dan penyembahan, yang membawa suasana penuh hadirat Tuhan dan menyatukan hati semua yang hadir dalam satu Roh penyembahan.

Seterusnya, perkongsian Firman Tuhan disampaikan oleh Pastor Philip Buayeh, yang membawa satu mesej teguran yang membina kepada semua pemimpin bertemakan “Ciri Pemimpin Rohani”. Beliau menekankan bahawa seorang pemimpin rohani harus memiliki tiga ciri utama iaitu Cekap (Bijaksana) / Cerdik, Takut kepada Tuhan – semakin kita takut kepada Tuhan, semakin dekat kita dengan-Nya dan Dapat Dipercayai – melalui tutur kata dan tingkah laku yang jujur serta telus.


Majlis diteruskan dengan acara penyerahan tugas antara AJK lama dan baharu. Antara acara penting ialah penyerahan tanggungjawab Bendahari Kawasan daripada Pta Jolis Boliking kepada Dkn Mishak Roben selaku bendahari baharu.


Kemuncak majlis adalah penyerahan sijil penghargaan kepada mantan-mantan AJK lama sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan dedikasi mereka dalam pelayanan selama ini.

Menariknya, terdapat satu acara tambahan yang tidak terdapat dalam atur cara asal, iaitu doa khas untuk Ketua Kawasan yang sekali lagi dipilih untuk memimpin SIB Kawasan Papar. Doa tersebut telah dipimpin oleh Pastor Markus Barokh dengan penuh kesungguhan dan pengharapan kepada Tuhan.

Majlis diakhiri dengan ucapan tahniah kepada semua pemimpin baharu serta dorongan kepada mereka yang tidak dipilih agar terus setia, kerana Tuhan pasti mempunyai rencana yang indah untuk setiap hamba-Nya.

Acara disudahi dengan jamuan makan bersama dalam suasana penuh kasih, keakraban, dan kesyukuran kepada Tuhan atas penyertaan-Nya sepanjang majlis berlangsung.










Previous Post Next Post